TAWAU: Masyarakat di negeri ini terutama mereka yang tinggal dalam Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) diberi amaran supaya tidak bersekongkol atau bersubahat dengan tekong tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan menyeludup masuk raokok dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini.
Mengingatkan perkara tersebut, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi PATI termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut,
“Masyarakat di kawasan ESSZONE diharap sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat tentang kemasukan PATI dan penyeludupan rokok tanpa cukai melalui laluan-laluan yang tidak diwartakan atau jalan tikus, ” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan demikian selepas operasi Op Cegah Pati (OCP) Daratan yang dijalankan oleh pasukan Kawasan ESSCOM) semalam.
Beliau berkata, dalam operasi tersebut bayi berusia enam bulan antara 21 PATI warga Indonesia yang ditahan.
Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua PATI yang ditahan kira-kira pukul 7.43 malam itu disyaki baru tiba dari Indonesia menggunakan bot laju dan mendarat di pesisir pantai perkampungan atas air Batu 3.5, Jalan Apas.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 21 PATI yang terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan 11 wanita dewasa bersama dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua PATI yang berumur antara enam bulan hingga 70 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya
Tangkapan itu dibuat dalam OCP Daratan yang diketuai oleh pasukan ESSCOM bersama anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin dan Angkatan Tentera Malaysia.
Ahmad Fuad berkata , ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh kawasan ESSZONE.
“Kami akan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep show of force bagi mengawal kemasukan PATI terutamanya dari negara jiran dalam usaha kita untuk mengekang dan memutuskan rangkaian Covid-19 daripada merebak dibawa masuk ke negara ini melalui PATI,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui pusat operasi ESSCOM di talian 089-863181 yang beroperasi 24 jam. – UTUSAN ONLINE