'Allah beri saya peluang kedua’ - Utusan Malaysia

‘Allah beri saya peluang kedua’

FAQIH Yusof (kiri) menunjukkan gambar selepas dia menjadi mangsa langgar lari di Hentian Gua Musang, Februari lalu, di rumahnya di Kampung Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini. –UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengalaman dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terpelanting ke atas jalan tidak jauh dari Hentian Gua Musang di sini dengan muka parah berlumuran darah bukan satu momen indah untuk dikenang.

Lebih-lebih lagi apabila diri yang sudah nyawa-nyawa ikan ditinggalkan begitu sahaja tanpa dibantu, seolah-olah sengaja dibiarkan oleh pemandu yang melanggarnya untuk mati perlahan-lahan.

Ketika diminta menceritakan semula kejadian langgar lari yang menimpanya pada Februari lalu, jelas kelihatan di wajah Faqih Yusof, 17, rasa takut, cemas dan panik. Sebagai mangsa, dia mengakui masih trauma.

“Sebelum tidak sedarkan diri akibat kemalangan itu, saya hanya memikirkan tentang kematian. Saya berasakan seperti sudah dicabut nyawa.

“Alhamdulillah, syukur sangat-sangat Allah akhirnya beri peluang kedua untuk saya terus bernafas. Aidilfitri kali ini terindah bagi saya yang ibarat mati hidup semula dan kembali ke pangkuan keluarga,” katanya di sini baru-baru ini.

Ketika kunjungan Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tanah Putih, ibunya, Zuraini Ahmad, 47, setia menemani di sisi, sekali gus menguatkan semangat pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Krai itu untuk terus bercerita.

Faqih menjadi mangsa langgar lari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan menunggang motosikal seorang diri melalui Hentian Gua Musang, dekat sini kira-kira pukul 11 malam, 14 Februari lalu.

Akibat insiden itu, tulang muka remaja itu patah selain cedera parah di mata dan mengalami darah beku di kepala. Kecederaan di muka menyebabkan Faqih tidak mampu bercakap selain terlantar tidak berdaya di atas katil selama lebih dua bulan.

Dia baru selesai menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan akan menjalani rawatan susulan pada 20 Mei ini serta rawatan mata pada Jun depan di hospital sama.

Faqih dalam pada itu memberitahu, walaupun kesihatannya beransur pulih, dia kini tidak boleh memandang motosikal, apatah lagi menunggangnya dek kerana rasa trauma yang masih mendalam.

“Biarpun pemandu yang melanggar saya gagal dikesan sehingga hari ini, saya sudah memaafkan dia. Saya berharap dia insaf dan tidak lagi memandu secara melulu hingga membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Sementara itu Zuraini berkata, dia mewakili seluruh ahli keluarga berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin terhadap nasib anaknya dan sudi menyalurkan bantuan bagi membiayai kos pembedahan Faqih yang mencecah RM10,000. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN