Aktiviti sosial keluarga faktor peningkatan kes di Johor - Utusan Malaysia

Aktiviti sosial keluarga faktor peningkatan kes di Johor

R. Vidyananthan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Aktiviti sosial keluarga menjadi faktor peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah melibatkan guru dan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, aktiviti sosial keluarga melibatkan ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul untuk bermesra di dalam rumah menyebabkan penularan wabak tersebut.

“Kebanyakan kes adalah akibat penularan di dalam rumah ekoran daripada aktiviti sosial keluarga, di mana mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat.

“Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di karaoke, kenduri kahwin dan aktiviti riadah yang lain secara berkumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Agama, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah mengadakan perbincangan isu berbangkit di sekolah serta tindakan kawalan yang boleh diambil bagi mengelakkan penularan berterusan.

Katanya, PPD dan PKD perlu bekerjasama meningkat pemantauan terhadap pematuhan SOP di sekolah masing-masing pada minggu terakhir sebelum cuti sekolah bermula serta Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga Jumaat lalu jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 45,377 di seluruh negeri ini dengan sebanyak 43,450 kes telah pulih iaitu 96 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Tambahnya, sebanyak 1,809 kes yang aktif dan telah pun diasingkan dan diberi rawatan sama ada di rumah atau di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan jumlah kematian sebanyak 118 kes.

“Sehingga Jumaat lalu, kluster aktif di negeri Johor adalah sebanyak 51. Daripada jumlah tersebut, 18 kluster adalah penularan dalam industri, 15 kluster komuniti, sembilan kluster institusi, dua kluster pasaraya, satu kluster import melibatkan kru kapal dan enam kluster melibatkan tahanan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN