Air cikung Wan Musa masih popular - Utusan Malaysia

Air cikung Wan Musa masih popular

WAN Mohd. Ramzi Wan Jaafar menunjukkan air cikung yang laris dijual di gerainya di bazar Ramadan Cabang Tiga di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Di sebalik saingan minuman berperisa popular, gerai air cikung Wan Musa yang sudah tujuh tahun beroperasi di bazar Ramadan Cabang Tiga di sini, tetap menjadi tumpuan orang ramai.

Pengusahanya, Wan Mohd. Ramzi Wan Jaafar, 31, berkata, kira-kira 80 bungkus minuman herba seperti lai ci kang itu laris dijual setiap hari, bahkan jumlahnya meningkat mencecah 140 bungkus pada hujung minggu.

Katanya, air cikung lazimnya digemari golongan dewasa dan berusia kerana mempunyai pelbagai khasiat termasuk mampu menyegarkan badan di samping meredakan panas.

“Resipi air cikung dipelajari daripada ayah saya dan waktu jualan hanya dibuat setahun sekali iaitu pada bulan Ramadan.

“Minuman ini sudah jarang ditemukan dan ada dalam kalangan pelanggan yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membelinya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Wan Mohd. Ramzi, air cikung berbeza berbanding lai ci kang kerana ramuan asasnya menggunakan halia, jintan manis, jintan putih, bunga lawang dan gula Melaka selain bahan-bahan untuk isi seperti kundur, suun, kurma, kismis, buah kabung, getah anggur, kembang semangku, buah bidara dan air gula.

Katanya, pihaknya turut menerima tempahan daripada pelanggan untuk disumbangkan ke surau dan masjid, selain menjual minuman soya dan air batu campur (ABC).

“Kebiasaannya waktu kemuncak pelanggan ramai antara pukul 5 hingga 6.30 petang, jadi bagi memastikan tiada kesesakan, air cikung dibungkus lebih awal dengan bantuan dua pekerja,” katanya.

Air cikung dijual pada harga RM3.50 sebungkus dan mereka yang ingin menempah boleh menghubungi talian 014-606 6871. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN