MARAN: Bayi comel, Siti Nur Aafiyah Roslan berusia tiga tahun dari Felda Jengka 6 di sini sepatutnya lincah berlari riang seperti kanak-kanak seusia dengannya tetapi hanya mampu terlantar akibat menghidap penyakit cecair berlebihan dalam kepala.
Siti Nur Aafiyah ketika ini menjalani fisioterapi sejak dibedah pada Mei tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ibu bayi berkenaan, Mardiah Ahmad Mokhtar, 39, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak kandungannya berusia empat bulan oleh doktor pakar di Klinik Kesihatan Maran.
“Kami perlu berulang-alik dua kali sebulan ke PPUM bagi menjalani rawatan fisioterapi fizikal, pertuturan dan mata. Siti Nur Aafiyah tidak mampu bergerak, hanya matanya galak memandang tetapi tidak fokus.
“Ia akibat komplikasi pembedahan di kepala tetapi pendengarannya jelas. Dia seronok mendengar muzik terutama lagu raya. Kami juga merindui tangisannya kerana dia amat jarang menangis,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Felda Jengka 6 di sini.
Mardiah berkata, pembedahan Siti Nur Aafiyah di PPUM pada 4 Mei tahun lalu dilakukan bagi meletakkan alat mengeluarkan air daripada kepalanya.
“Sebagai ibu dan bapa, sudah tentu kami sedih melihat keadaan anak namun kami reda dengan ujian Allah SWT dan perlu tabah menghadapinya,” katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
Menurutnya, suaminya, Roslan Mat Husin, 42, yang bekerja sebagai pemandu lori sawit bekerja keras mencari sumber kewangan untuk rawatan susulan Siti Nur Aafiyah.
Ini kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan kos rawatan, susu, lampin pakai buang dan berulang-alik ke PPUM dua kali sebulan.
Doktor jugga ada memberitahu Siti Nur Aafiyah mungkin menjalani beberapa pembedahan lagi, namun akan ditentukan kemudian.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Siti Nur Aafiyah boleh menyalurkan ke dalam akaun CIMB Bank Mardiah dengan nombor 02100031455527 atau boleh menghubunginya di talian 019-6761866. – UTUSAN ONLINE