Aidilfitri sepi tanpa baraan, marhaban rumah ke rumah - Utusan Malaysia

Aidilfitri sepi tanpa baraan, marhaban rumah ke rumah

KUMPULAN anak-anak muda yang menyertai baraan atau ziarah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Parit Selangor pada 2019 di Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Tradisi baraan atau mengunjungi rumah saudara, kenalan dan jiran sekampung pastinya hanya tinggal kenangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan lagi pada tahun ini ketika Hari Raya Aidilfitri.

Baraan yang merupakan istilah dalam bahasa Jawa bermaksud berjalan-jalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan pada Aidilfitri yang merupakan tradisi masyarakat itu.

Menurut Ketua Baraan Kampung Permatang Sepam, Mohamad Johari Sarkom, dia terkesan kerana aktiviti itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Secara peribadi, Mohamad Johari berasa ketiadaan baraan diikuti dengan marhaban dari rumah ke rumah menyebabkan suasana hari raya tidak berseri kerana aktiviti tersebut telah menjadi tradisi mereka sejak sekian lama.

“Kebiasaannya, kumpulan baraan ini akan mengunjungi kira-kira 50 buah rumah yang terdapat di Kampung Permatang Sepam bermula selepas solat sunat Aidilfitri sehingga dijangka berakhir pada pukul 6 petang.

“Kami melaksanakan baraan dalam tempoh sehari bagi memberi peluang penduduk berhari raya bersama keluarga masing-masing pula pada hari kedua dan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Mohamad Johari, aktiviti itu telah bermula pada 1970-an yang ketika itu penduduk menunggang basikal atau berjalan kaki berbanding hari ini menggunakan motosikal.

Sementara itu, Khairuman Abu dari Kampung Parit Selangor iaitu kampung yang dihuni 100 peratus masyarakat Jawa turut melahirkan perasaan sedih kerana aktiviti tersebut tidak dapat dilakukan lagi pada tahun ini.

Katanya, baraan biasanya melibatkan anak-anak muda berusia 35 tahun ke bawah yang masih bujang dengan menjelajah empat buah kampung dalam tempoh empat hari bermula pada hari raya pertama.

Menurutnya, kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Parit Selangor, Kampung Parit Baru, Jalan Parit Kassim dan Kampung Melayu Sri Bukit.

“Bilangan peserta baraan antara 15 hingga 30 orang yang dibahagi dalam dua kumpulan dengan bergerak ke seluruh kampung bagi memastikan semua rumah dapat dikunjungi dalam sehari.

“Aktiviti yang diadakan pada setiap tahun ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga kampung dan sekali gus dapat menziarah penduduk kampung dari rumah ke rumah.

“Memang sedih kerana ia tidak dapat dijalankan lagi pada tahun ini bagi mematuhi PKP memandangkan aktiviti ini telah dijalankan semasa saya masih berada di bangku sekolah lagi,” katanya.

Tambah Khairuman, walaupun agak memenatkan, namun ia tidak menghalang budaya saling menziarahi itu diteruskan kerana keseronokan dapat bertemu dengan rakan dan jiran sekampung mengatasi perasaan itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya