Aidilfitri: Polis Shah Alam periksa rumah ke rumah - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Polis Shah Alam periksa rumah ke rumah

BAHARUDIN (dua dari kiri) sedang memaklumkan mengenai SOP PKP kepada seorang pekerja barang kemas di Setia City Mall, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dalam mengekang penularan Covid-19, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam akan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah bagi mengelak aktiviti ziarah dilakukan orang awam pada Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai 173 anggota polis termasuk pegawai akan melakukan pemeriksaan kediaman di sekitar Shah Alam.

Menurutnya, pemeriksaan akan dijalankan secara rawak bermula Khamis ini sehingga kerajaan menarik balik arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sekiranya anggota polis mendapati ada orang awam melakukan aktiviti tersebut, kompaun akan dikeluarkan serta merta kepada mereka.

“Oleh demikian, saya minta masyarakat supaya mematuhi larangan ini dan kerjasama anda sangat dihargai,” katanya selepas menghadiri program pemantauan SOP di pusat membeli-belah Setia City Mall di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula esok susulan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Beliau juga mengumumkan aktiviti ziarah tidak dibenarkan ketika sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mengekang penularan virus tersebut.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, pihaknya akan menjalankan sekatan jalan raya (SJR) bergerak di seluruh Shah Alam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“SJR kekal bagi IPD Shah Alam hanya di Plaza Tol Lebuhraya Lembah Klang (NKVE) Bukit Jelutong bagi mengelak orang awam melakukan rentas daerah dan negeri.

“Kita juga akan melakukan pemeriksaan di semua pusat membeli-belah untuk pastikan SOP dipatuhi semua pengusaha dan pengunjung pusat berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya