KEPALA BATAS: Seorang ahli perniagaan rugi RM40,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi panggilan telefon.
Dalam kejadian semalam, mangsa yang berusia 55 tahun diperdaya selepas menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan kononnya dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu pejabat Polis (IPK) Pahang.
Tambahnya, mangsa kemudian didakwa turut terlibat dengan beberapa kes jenayah seperti kes dadah, ah long dan ‘scammers’.
“Mangsa yang panik telah mengikut arahan supaya namanya dibersihkan daripada rekod polis dan diminta memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan.
“Mangsa kemudiannya memindahkan wang berjumlah RM40,000 ke dalam dua akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu setelah memberitahu perkara itu kepada anak lelakinya dan tampil membuat laporan polis.
Jelas beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon kerana pihak kerajaan dan PDRM sendiri tidak pernah berurusan dengan orang awam melalui telefon dan meminta maklumat perbankan,” katanya.