Ahli perniagaan didakwa tipu jualan pelitup muka - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan didakwa tipu jualan pelitup muka

TJOENG Chan Chin didakwa atas pertuduhan kes penipuan penjualan pelitup muka yang tidak wujud bernilai RM352,000 ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu penjualan pelitup muka berjumlah RM352,000 sejak April tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Tjoeng Chan Chin, 42, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Malah Chan Chin yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat kerana cedera pada kaki kiri dipercayai terjatuh dua minggu lalu, terkejut dengan kehadiran media yang membuat liputan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu dan memperdayakan seorang individu untuk mempercayai kewujudan perniagaan pelitup muka dan menyerahkan wang RM352,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No.18, Jalan Tempua 8, Puchong Jaya antara 28 April sehingga 13 Mei tahun lalu.

Chan Chin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM150,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM15,000.

Tertuduh turut memohon agar pihak media dilarang daripada melaporkan kes berkenaan memandangkan reputasinya sebagai ahli perniagaan dan menjejaskan perniagaannya bersama rakan kongsinya.

Bagaimanapun Muhamad Anas menolaknya dan menegaskan permohonan itu perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang dengan melantik peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melantik peguam bagi memasukkan permohonan tersebut dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN