GEORGETOWN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 sepanjang program AgroCraf Bazar Aidilfitri FAMA yang berlangsung di dua pasar raya dan rangkaian Agrobazar K-Shoppe di negeri ini.
Pemangku Pengarah FAMA negeri, Mohd. Junaidi Raziqin berkata, program tersebut yang bermula 9 April hingga 11 Mei bertempat di pasar raya 1st Avenue, Georgetown, Sunway Carnival dan tiga Agrobazar K-Shoppe itu menawarkan pelbagai jenis biskut, kuih-muih tradisi, kerepek, serta kelengkapan Hari Raya Aidilfitri kepada pengunjung.
“Seramai 92 usahawan menyertai program AgroCraf Bazar Aidilfitri FAMA kali ini.
“Selain itu, lebih 100 jenis biskut dan kuih raya tradisi seperti dodol ditawarkan kepada para pembeli di ruang niaga yang selesa ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Junaidi, program Agro Bazar Aidilfitri FAMA itu merupakan program tahunan sejak 2017 dan bertujuan membantu menyediakan ruang niaga buat usahawan bumiputera.
“Program ini juga menjadi pusat sehenti kepada pengunjung untuk mendapatkan keperluan seisi keluarga bagi membuat persiapan hari raya.
“Selain itu, para usahawan juga dapat mempromosikan biskut dan kuih raya yang dihasilkan mereka ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Mohd. Junaidi berkata, pelbagai aktiviti menarik juga dirangka bagi memeriahkan AgroCraf Bazar Aidilfitri FAMA itu antaranya pertandingan menganyam ketupat, pertandingan serta demonstrasi mengubah kek dan banyak lagi.
Dalam pada itu katanya, pada program kali ini juga kesemua usahawan terlibat menampilkan imej yang seragam dan kemas dengan vest serta apron bagi menonjolkan identiti masing-masing.
“Produk usahawan juga dipamerkan di rak-rak yang kemas dan teratur untuk menarik perhatian pengunjung,” katanya.
Sementara itu beliau menambah, para usahawan yang terlibat dengan AgroCraf Bazar Aidilfitri FAMA itu turut digalakkan untuk meneroka pasaran dalam talian melalui platform Agrobazar Online. -UTUSAN ONLINE