PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang telah kembali ke Rahmatullah pada petang ini.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Mufti Perak itu dan berharap agar seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka berdua menyanjung tinggi dan amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan sumbangan Allahyarham dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Seri Paduka berdua hari ini.
Harussani, 82, yang dirawat kerana positif Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh meninggal dunia hari ini pada pukul 2.45 petang.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.