Adik Syifa sedia jalani pembedahan jantung, dana RM10,000 sudah diperoleh - Utusan Malaysia

Adik Syifa sedia jalani pembedahan jantung, dana RM10,000 sudah diperoleh

SHAHRIZAN Yusof (kanan) memangku anak bongsunya, Qish Naura Syifa yang akan menjalani pembedahan jantung berlubang ketika dikunjungi Mohd. Fadel Alwi di Kampung Sri Lalang, Kluang, Johor. -UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: “Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa dan budi baik tuan-tuan serta puan-puan semua,” kata Shahrizan Yusof, 37, bapa kepada bayi yang memerlukan dana RM10,000 bagi menampung kos operasi pembedahan jantung berlubang.

Shahrizan berkata, mereka sudah menerima jumlah diperlukan dalam tempoh yang singkat selepas kisah anak bongsunya yang berusia tiga bulan iaitu Qish Naura Syifa tersiar di akhbar dan tular dalam media sosial.

Kata bekas jurujual roti itu, mereka kini hanya menunggu tarikh pembedahan ditetapkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara bagi pembedahan jantung anaknya yang mesra dipanggil Syifa.

“Terima kasih kepada mereka yang menyumbang wang tunai dan Alhamdulillah jumlah yang diperlukan sudah mencukupi. Saya terharu dengan keprihatinan orang ramai yang tidak putus menghubungi kami bertanyakan perkara itu.

“Ada ramai juga yang menyalurkan wang ke dalam akaun bank milik saya untuk kegunaan Syifa. Tiada apa yang mampu dibalas melainkan doa baik-baik untuk semua,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi di kediaman ibunya di Sri Lalang, di sini.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan pasangan suami isteri di Kampung Sri Lalang, di sini mengharapkan bantuan orang ramai untuk mengumpul sejumlah RM10,000 bagi menampung kos pembedahan jantung anak bongsu mereka.

Lebih memeritkan, Shahrizan sebelum ini juga dibuang kerja dalam tempoh 24 jam sebagai jurujual roti gara-gara kerap mengambil cuti bagi menguruskan anaknya itu berulang alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Sementara itu, Shahrizan berkata, kebimbangan terhadap kesihatan Syifa masih belum reda kerana anaknya daripada dua beradik itu masih mempunyai satu lagi pembedahan iaitu untuk membaiki saluran najis dan kemaluannya yang bercantum.

“Buat masa ini, doktor belum memberikan tarikh bagi pembedahan jantung Syifa dan sekiranya operasi pembedahan sudah selamat dilaksanakan, Syifa masih mempunyai satu lagi pembedahan kerana menghidapi penyakit saluran kemaluan dan najis yang bercantum.

“Kos dan tarikh untuk pembedahan penyakit kemaluan dan najis bercantum ini belum diketahui lagi kerana doktor mahu pembedahan jantung dilakukan terlebih dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN