PETALING JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-13 berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menamatkan kontrak selepas dilantik selama dua tahun pada 3 Mei 2019.
Majlis serah terima tugas dimulakan dengan majlis pemakaian pangkat disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi ini.
Upacara bersejarah itu berlangsung di Mess Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Acryl Sani dan Abdul Hamid serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Ismail
Turut diadakan, upacara serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di antara Pengerusinya, Puan Sri Norazrin Marzuki dengan isteri Acryl Sani , Datin Seri Ir. Zaitun Mohd. Isa disaksikan Datin Seri Nor Azimah Abdul Mubin.
Abdul Hamid dalam ucapannya meletakkan keyakinan dan sepenuh kepercayaan kepada Acryl Sani serta semua kepimpinan tertinggi pasukan untuk menggendong tanggungjawab diamanahkan.
“Saya berharap semua warga PDRM dapat memikul amanat dengan meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat. Walaupun tidak lagi memakai uniform Sang Saka Biru, saya akan terus berjuang dengan pasukan dengan cara tersendiri.
“Kepada Datuk Seri Acryl Sani, syabas atas lantikan dan ini adalah titik permulaan bagi memikul amanat dengan komitmen dan ikhlas,” katanya.
Pelantikan Acryl Sani itu berkuat kuasa hingga 3 Oktober depan apabila tamat tempoh perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Acryl Sani dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor, dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).
Beliau menyertai PDRM pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP).
Sepanjang tempoh perkhidmatan dalam PDRM, beliau berpengalaman memegang pelbagai jawatan, termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab PDRM, Ketua Polis Terengganu dan Perak serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Acryl Sani juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), selain menyandang jawatan Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.
Seterusnya, beliau memegang jawatan Pengarah beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2020.- UTUSAN ONLINE