Abdul Hadi berjaya batal saman pemula penganut Kristian - Utusan Malaysia

Abdul Hadi berjaya batal saman pemula penganut Kristian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman pemula yang difailkan oleh dua penganut Kristian terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mendapati tindakan tersebut adalah remeh dan satu penyalah gunaan proses mahkamah.

Hakim Datuk Akhtar Tahir turut memerintahkan kedua-dua plaintif, Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian untuk membayar kos punitif berjumlah RM100,000.

Pada 9 Disember 2020, kedua-dua plaintif yang berasal dari Sabah memfailkan saman pemula terhadap Abdul Hadi atas dakwaan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri itu telah mengeluarkan satu penyataan menghasut berhubung penganut atau mubaligh Kristian yang telah diterbitkan dalam sebuah akhbar pada 18 Januari 2016 dan kemudian dilaporkan oleh sebuah portal pada hari sama.

Terdahulu ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Akhtar menyatakan kedua-dua plaintif yang berasal dari Sabah itu tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman tersebut.

Ini kerana, sekiranya dibaca secara keseluruhan, kenyataan yang dibuat Abdul Hadi selaku defendan lebih menjurus kepada kumpulan mubaligh Kristian dan bukan penganut atau agama itu sendiri.

“Sebelum ini, ayat `jumpa awak di mahkamah’ sekadar untuk menakut-nakutkan orang lain tetapi kini ia seperti perkara biasa. Mahkamah perlu mengenakan kos punitif kepada mereka yang mengemukakan tindakan remeh sebegini kerana kes-kes remeh ini menyesakkan sistem kehakiman dengan kes-kes perundangan yang tidak perlu,” ujarnya.

Kedua-dua plaintif melalui saman pemula itu antara lain memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dan pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Abdul Hadi, pada 28 Januari lalu, mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula difailkan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua antaranya atas alasan saman itu tiada kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya