KOTA BHARU: Seorang lelaki berasal dari Gaza, Palestin yang hampir sedekad menetap di Kampung Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini nekad menggunakan laman sosial sebagai platform untuk dia ‘berjihad’ melawan rejim Zionis.
Abdallah Ismail, 35, giat menggunakan media sosial bagi menyebarkan berita sahih dari sudut pandang sebenar penduduk di bumi Gaza yang sedang berdepan penindasan tentera Israel.
Menurut Abdallah, kebanyakan perkembangan terkini dilaporkan menerusi media antarabangsa ketika ini bersifat berat sebelah selain menggambarkan perjuangan rakyat Palestin sebagai gerakan ‘militan’.
“Dakwaan itu tidak benar sama sekali, kebanyakan penduduk yang dibunuh adalah golongan wanita selain kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun. Namun kekejaman rejim Zionis itu tidak dilaporkan oleh media antarabangsa.
“Alhamdulillah, bila saya gunakan platform ‘live’ Facebook untuk menceritakan hal sebenar berkait dengan perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman Zionis, barulah masyarakat faham,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Abdallah yang fasih bertutur dalam loghat Kelantan memberitahu, setiap hari dia akan mendapatkan perkembangan terkini dari keluarga dan rakan-rakan yang berada di Palestin untuk diuar-uarkan kepada orang ramai.
Selain itu dia juga mendapatkan maklumat situasi semasa di Palestin melalui laporan akhbar dan radio tempatan serta laporan media antarabangsa yang telus.
“Setiap hari saya akan berhubung dengan mereka. Segala maklumat yang diperoleh itu akan dikongsi dengan seluruh warga media sosial.
“Hasrat saya satu iaitu mahu seluruh dunia tahu perjuangan sebenar rakyat Palestin bertarung nyawa melawan kekejaman Zionis yang membunuh wanita dan kanak-kanak tanpa belas kasihan,” katanya.
Abdallah bagaimanapun menolak untuk menjadi ‘orang tengah’ bagi mengutip sumbangan di negara ini untuk disalurkan kepada penduduk Palestin.
Terdahulu nama Abdallah meniti di bibir warganet Malaysia apabila membuat siaran langsung di Facebook sambil menceritakan kesengsaraan rakyat Palestin ‘diazab’ tentera Israel dalam loghat Kelantan.