JOHOR BAHRU: Kira-kira 9.8 peratus individu di negeri ini yang layak menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir temujanji masing-masing.
Daripada jumlah itu, 0.07 peratus menolak vaksin kerana pendaftaran mereka dibuat oleh keluarga, manakala 1.3 peratus pula memohon pertukaran tarikh temujanji.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kira-kira tujuh peratus pula memberi alasan tidak memeriksa MySejahtera.
“Mereka yang tidak memeriksa aplikasi MySejahtera diminta menghubungi Help desk dalam aplikasi bagi temujanji baharu. Bagi bilangan ini, pihak Pejabat Kesihatan Daerah memanggil individu yang berada dalam senarai menunggu fasa satu atau dua yang dibawa ke hadapan.
“Tetapi kedatangan secara walk-in atau menunggu di luar dewan adalah tidak dibenarkan kerana dibimbangi menyumbang kepada penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan berkata, seramai 148,870 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Daripada jumlah itu, 79,958 orang telah menerima vaksin dos kedua sehingga semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 762 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri ini dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 56,993 kes dan 97 kluster aktif direkodkan sehingga semalam.
“Ia melibatkan 30 kluster industri, 44 kluster komuniti, 16 kluster institusi, dua kluster pasar raya, empat kluster melibatkan tahanan dan satu kluster import,” katanya.
Katanya, terdapat lima lokaliti yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes yang dilaporkan.
Antaranya adalah Felda Kahang Timur, Asrama Oceanic Fabric, Jalan Mengkibol dan Asrama Purnabina, Jalan Makasar di Kluang; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felda Redong Satu di Segamat.- UTUSAN ONLINE