MELAKA: Sebanyak 846 pasang kasut tiruan gred ‘medium-low’ jenama Adidas dan Nike bernilai RM12,800 dirampas manakala seorang lelaki ditahan dalam satu serbuan Op Barang Tiruan di sebuah rumah di Krubong di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 25 tahun tersebut yang juga merupakan pemilik rumah berkenaan ditahan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan itu merupakan hasil kerjasama dengan wakil pemilik cap dagang jenama Nike dan Adidas yang telah menjalankan siasatan awal ke atas satu akaun e-dagang yang aktif menjual pelbagai jenis kasut, termasuk jenama tersebut.
Katanya, hasil uji beli yang telah dibuat oleh wakil pemilik cap dagang mendapati kasut jenama Nike yang diterima adalah produk tiruan.
“Bertindak atas maklumat siasatan dibuat oleh wakil pemilik cap dagang tersebut, sepasukan lapan penguat kuasa KPDNHEP telah menjalankan serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai tempat operasi dan menyimpan stok barangan.
“Hasil pemeriksaan di premis, kita menjumpai sebanyak 345 pasang kasut dan 287 pasang sandal jenama Nike, manakala 214 pasang sandal jenama Adidas yang dipercayai produk tiruan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, penjualan kasut dan sandal tersebut dipercayai telah aktif sejak tiga bulan lalu dengan meletakkan harga pasaran bermula daripada RM25 sehingga RM150.
“Kualiti barangan yang dijual digredkan sebagai medium-low. Modus operandi perniagaan ini adalah melalui urus niaga dalam talian sahaja dan barangan akan dipos dengan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Kita telah merampas kesemua 846 pasang kasut dan sandal tersebut yang bernilai RM12,800 dan menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik premis tersebut untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dakwaan mengikut Seksyen 102 (1) (C) Akta Cap Dagang 2019.
“Sekiranya pesalah adalah pertubuhan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang dan RM30,000 untuk kesalahan berikutnya bagi pertubuhan.
“Manakala pesalah individu akan berdepan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE