PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penutupan jalan di tujuh laluan utama kemasukan ke Putrajaya bagi memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh bermula tengah malam ini berjalan dengan lancar.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, seramai 196 anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terlibat dalam penugasan tersebut.
Menurutnya, tujuh lokasi tersebut ialah Jalan P5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil (Presint 5), Jalan Resam Hala keluar dan masuk (Presint 11) serta Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya (Presint 11).
“Turut tersenarai adalah Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sg. Merab Bangi (Presint 14), Pintu Satu, Hala Keluar dan Masuk (Presint 14), Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral (Presint 7) dan Jalan P5, Menghala ke Dengkil (Presint 5),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, empat lokasi SJR sedia ada masih dikekalkan melibatkan kekuatan seramai 16 pegawai kanan dan 51 anggota pangkat rendah termasuk bantuan 48 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 12 dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Lokasi berkenaan ialah sekatan jalan raya (SJR) 1 di Lebuh Sentosa Hala Keluar Ke Mex Highway, SJR 2 di Persiaran Selatan Hala Keluar Ke Dengkil (Presint 5), SJR 3 di Pintu 2a, Persiaran Utara Hala Keluar Ke Hospital Serdang (Presint 12) dan SJR 4 di Pintu 3, Persiaran Utara Hala Keluar Ke Puchong (Presint 9),” tegasnya.
Mohd. Fadzil berkata, penutupan jalan itu untuk memastikan kenderaan keluar masuk ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dapat dikawal bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dan memudahkan kawalan pergerakan di SJR yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, selain SJR statik sedia ada, dua pasukan snap check yang bertugas secara mobile juga ditubuhkan yang mana kedua-dua pasukan terbabit boleh digerakkan ke lokasi yang dikehendaki.
Katanya lagi, lokasi snap check itu akan berubah-ubah mengikut kesesuaian bagi memastikan tiada pergerakan bebas keluar dan masuk di Putrajaya terutama sekali di lorong tikus.
“Jumlah kekuatan bagi pasukan snap check terdiri daripada dua pegawai kanan dan 10 anggota pangkat rendah,” katanya.
Katanya, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat di Putrajaya berada pada tahap yang tertinggi, pasukan Pemantau Pematuhan SOP IPD Putrajaya ditubuhkan.
“Sebanyak enam pasukan terdiri daripada enam pegawai kanan, 24 anggota pangkat rendah, 12 aggota ATM serta dibantu oleh 14 penguat kuasa KDN,” katanya.
Tambahnya lagi, pasukan iti juga akan dibantu oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotorsikal (URB).- UTUSAN ONLINE