PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan kematian akibat Covid-19 melebihi 60 kes dengan merekodkan 67 kes walaupun terdapat penurunan berbanding semalam, 79 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus kekal menjadi negeri terbanyak menyumbang kes kematian apabila mencatatkan 15 kes diikuti 12 kes di Johor, lapan kes di Sarawak, enam kes di Kedah, masing-masing lima kes di Negeri Sembilan dan Kelantan, empat kes di Pahang, masing-masing tiga kes di Pulau Pinang, Labuan dan Melaka, dua kes di Sabah, serta satu kes di Kuala Lumpur.
Katanya, seramai 40 lelaki termasuk seorang warga asing dan 27 wanita termasuk dua warga asing berusia antara 15 hingga 99 tahun dengan 49 warga emas.
“Sebanyak lapan kes melibatkan pesakit meninggal dunia di rumah (BID) dan lapan tiada latar belakang penyakit.
“Antara penyakit yang dikesan adalah kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang kronik, leukemia, obesiti, jantung, gout, strok, glaucoma, asma, paru-paru kronik, tiroid, hati, Cushing’s syndrome, sleep apnoea, peripheral vascular disease dan Rheumathoid arthritis dan anemia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, selain kes kematian, Malaysia juga mencatat sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 6,824 kes berbanding semalam, 6,999 kes selepas kelmarin, merekodkan kes tertinggi sejak pandemik melanda negara iaitu 9,020 kes.
Katanya, jumlah terbabit tetap mengatasi 5,251 kes sembuh manakala Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,111 kes manakala 25 kluster baharu.
“Kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 79,523 kes berbanding semalam, 78,017 kes dan 851 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 422 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selepas Selangor, Kelantan merekodkan sebanyak 695 kes diikuti Sarawak (654), Johor (489), Kedah (464), Kuala Lumpur (387), Melaka (352), Pulau Pinang (328), Perak (255), Negeri Sembilan (253), Pahang (219), Sabah (207), Terengganu (204), Labuan (166). Hanya Putrajaya merekodkan kes dua angka iaitu 28kes manakala Perlis, 12 kes,” katanya.
Mengulas mengenai 25 kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan 14 kluster tempat kerja, sembilan kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pendidikan tinggi dan kumpulan berisiko tinggi.
Bagi kluster tempat kerja katanya, Jalan Alam Jaya di Hulu Langat, Selangor (35); Jalan Perusahaan Dua Lima melibatkan Hulu Langat, Gombak dan Petaling, Selangor (29); Jalan Coastal Bintulu-Miri di Bintulu, Sarawak (49); Jalan Sierra Perdana Empat di Johor Bahru, Johor (7); Dah PKNK 3/8 di Kuala Muda, Kedah (48); Perindustrian Trisegi di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (19) dan Jalan Mahsuri Kluang di Kluang, Johor (52).
“Tujuh lagi, Tapak Bina Klebang di Melaka Tengah, Melaka (124); Lintang Bayan Lepas Enam melibatkan Barat Daya, Timur Laut, dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (25); Industri Bukit Minyak Tujuh melibatkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang (15); Industri Indera Mahkota 14 di Kuantan, Pahang (28); Muara Tabuan melibatkan Kuching, Samarahan, Serian dan Asajaya, Sarawak (152); Industri Jalan Karak di Bentong, Pahang (37) dan Jalan Sudirman di Temerloh, Pahang (18).
“Kluster komuniti pula, Jalan Pantai Permai di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (22); Langgar Hilir melibatkan Hulu Terengganu dan Marang, Terengganu (32); Kampung Gelong Badak melibatkan Bachok dan Kota Bharu, Kelantan (18); Tok Jawa di Bachok, Kelantan (10); Jalan Jambusan -Sunchar melibatkan Bau dan Kuching, Sarawak (18); Dah Bagan di Padang Terap dan Pendang, Kedah (41); Kampung Sungai Kerang melibatkan Manjung dan Perak Tengah, Perak (21); Milenium di Tawau, Sabah (34); Kampung Laneh melibatkan Kuala Kangsar dan Kinta, Perak (23),” katanya.
Tambahnya, satu kluster pendidikan tinggi, Dah Batu Dua di Kota Setar, Kedah (19) manakala satu kumpulan berisiko tinggi, Persiaran Titiwangsa melibatkan Titiwangsa dan Kepong, Kuala Lumpur (13). -UTUSAN ONLINE