6 bazar Ramadan dibuka semula Rabu ini - Utusan Malaysia

6 bazar Ramadan dibuka semula Rabu ini

SEBANYAK enam bazar Ramadan yang diarahkan tutup selama tiga hari di Pulau Pinang sejak semalam akan dibenarkan dibuka semula Rabu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak enam bazar Ramadan di bahagian pulau dan Seberang Perai yang diarahkan tutup selama tiga hari sehingga esok akan dibuka semula Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya telah mengarahkan penganjur bazar terlibat mengetatkan SOP pencegahan penularan Covid-19 supaya keselamatan pengunjung lebih terjamin.

Tegas beliau, sekiranya penganjur masih tidak mengetatkan SOP, tindakan penutupan bazar Ramadan boleh diambil sekali lagi.

“Perkara ini juga saya ingin tekankan kepada penganjur lain supaya sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga SOP kawasan bazar Ramadan kerana kebebasan berniaga yang kita berikan datang bersama tanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebanyak enam bazar Ramadan di negeri ini ditutup selama tiga hari bermula 2 Mei lalu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19.

Bazar Ramadan di bahagian pulau yang diarahkan tutup adalah di Kampung Melayu, di hadapan Pasar Taman Tun Sardon, pekarangan Masjid Daerah Barat Daya dan bazar Ramadan di hadapan Kompleks Bukit Gedung.

Selain itu, dua lagi bazar di bahagian Seberang Perai iaitu bazar Ramadan At-Takwa Taman Bertam Indah dan bazar Ramadan MPKK Jalan Tenggiri turut diarahkan tutup selama tiga hari sehingga esok.

Menurut Jagdeep, penguatkuasaan dan pemantauan daripada pasukan penguat kuasa MBPP dan MBSP juga akan ditingkatkan bagi memastikan penganjur, peniaga serta pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di India berlaku di negara kita, jadi saya harap semua pihak saling bekerjasama,” katanya.

Dalam pada itu Jagdeep berkata, pihaknya berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya dilaksanakan semula di Pulau Pinang tidak melibatkan keseluruhan kawasan.

Sebaliknya tambah beliau, hanya dikenakan di lokasi sasaran yang merekodkan kes Covid-19 yang tinggi.

“Kalau boleh hanya kawasan sasaran sahaja yang diisytiharkan PKP, bukan keseluruhan negeri.

“Sebagai contoh, sebelum ini ada bazar yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) jadi hanya bazar tersebut yang ditutup, bukan semua bazar dikenakan perintah penutupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya