PETALING JAYA: Sebanyak 5,718 kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan nilai kerugian mencecah RM62.3 juta dilaporkan sepanjang tahun 2020.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak 5,039 dengan kerugian kira-kira RM48.4 juta.
Bagi awal Januari hingga semalam, sebanyak 1,987 dengan kerugian RM20.2 juta dicatatkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket menjerat mangsa dengan menawarkan pinjaman di media sosial melalui kadar faedah rendah dan kelulusan segera.
Beliau berkata, mangsa yang berminat akan dihubungi sindiket sebelum diminta membuat pembayaran pendahuluan.
“Sindiket mendakwa pembayaran itu bertujuan bagi yuran perjanjian, insurans, pengaktifan akaun dan sebagainya.
“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, pinjaman dijanjikan tidak diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zainuddin berkata, aspek pencegahan kesedaran masyarakat perlu dititikberatkan selain tindakan pembenterasan pihak polis bagi mencegah daripada terpedaya.
Ujar beliau, beberapa langkah boleh digunakan bagi mengelak daripada menjadi mangsa iaitu usah mudah percaya dengan iklan tawaran promosi pinjaman dengan tawaran kadar faedah rendah dan proses permohonan segera tanpa syarat ketat.
“Selain itu, hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja. Ingat, tiada sebarang bayaran wang akan dikenakan sebelum permohonan diluluskan.
“Pengguna diminta supaya tidak memberikan maklumat peribadi atau akaun bank dan kad ATM kepada mana-mana individu tidak dikenali,” katanya.
Tambah beliau, orang awam boleh membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman berlesen atau tidak di https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/585 atau semak akaun bank dan nombor telefon diragui di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
“Masyarakat boleh melaporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud di media sosial,” katanya.- UTUSAN ONLINE