500,000 pekerja peruncitan bakal terima vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

500,000 pekerja peruncitan bakal terima vaksin Covid-19

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan melaksanakan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi – Sektor Peruncitan yang dijangka bermula bulan depan. 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lebih daripada 500,000 pekerja sektor peruncitan akan mendapat manfaat di bawah program tersebut. 

Beliau berkata, perjumpaan bersama CITF, persatuan dan pemain industri peruncitan telah diadakan hari ini dengan dihadiri oleh 60 orang wakil-wakil pemain industri peruncitan. 

“Memandangkan situasi pandemik Covid-19 semakin meningkat, pemberian vaksin kepada barisan hadapan ekonomi dilihat sangat mendesak untuk disegerakan khususnya dalam kalangan pekerja-pekerja dalam sektor peruncitan bagi membantu mencapai imuniti kelompok di negara ini. 

“Sebagai barisan hadapan ekonomi, sektor peruncitan penting dalam memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini. 

Alexander berkata, melalui program itu, KPDNHEP telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan menyelaraskan program vaksinasi sektor peruncitan dengan semua pemain industri berkaitan. 

Katanya lagi, kementerian turut bekerjasama dengan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Malaysia Retailers Association (MRA) dan Malaysia Retail Chain Association (MRCA) bagi mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) di lokasi strategik di seluruh negara. 

“Semua syarikat di bawah sektor peruncitan menyertai program vaksinasi ini bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 seperti mana sasaran kerajaan iaitu 80 peratus populasi diberikan vaksin sebelum akhir tahun ini,” katanya. 

Syarikat yang berminat untuk menyertai program itu boleh mengemukakan permohonan melalui https://www.vaksincovid.gov.my/ atau berhubung dengan KPDNHEP melalui Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel  kepada [email protected].- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya