SEREMBAN: Umat Islam di negeri ini dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah termasuk solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di kawasan masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa sehingga 7 Jun depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, ia mestilah beroperasi sepanjang tempoh ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk hanya 50 orang sahaja yang dibenarkan hadir termasuk pegawai dan ahli jawatan kuasa masjid atau surau Jumaat.
Bagi surau biasa pula, dibenarkan 20 orang sahaja termasuk pegawai dan ahli jawatan kuasa surau.
“Jemaah yang dibenarkan hadir solat adalah berstatus warganegara Malaysia atau penduduk tetap (PR). Hanya golongan lelaki yang berumur 15 tahun dan ke atas sahaja dibenarkan hadir solat dalam tempoh PKP pada kali ini dan jemaah yang hadir wajib mengisi borang kehadiran yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aminuddin, segala kehadiran jemaah direkodkan oleh jawatan kuasa dan dikemukakan ke Pejabat Agama Islam Daerah setiap hari.
“Bagi imam yang bertugas digalakkan untuk membaca ayat atau surah yang pendek manakala khutbah yang akan disampaikan hendaklah berpandukan teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sahaja.
“Bagi amalan takbir hari raya dibenarkan di masjid, surau Jumaat atau surau bermula dari waktu Maghrib, Isyak, Subuh dan sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri. Jawatan kuasa hendaklah memastikan tiada amalan takbir dilaksanakan berlanjutan sehingga lewat tengah malam, selepas solat Isyak, bertakbir dan berzikir dan boleh beredar,” kata beliau lagi.
Tambah beliau, sebarang bentuk jamuan dan amalan ziarah kubur selepas solat sunat hari raya Aidilfitri, juga adalah tidak dibenarkan.
Dalam pada itu, menurut Aminuddin, bagi pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 di negeri ini, semua pengurusan jenazah hendaklah dilaporkan terlebih dahulu kepada pihak polis.
“Semua pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan di masjid atau surau manakala pengurusan jenazah di rumah adalah dilarang.
“Pengurusan jenazah di masjid atau surau akan diuruskan oleh enam orang sahaja yang terdiri daripada tiga orang petugas masjid atau surau dan tiga orang lagi terdiri daripada waris si mati. Bagi solat jenazah, dibenarkan mengikut kapasiti solat dalam tempoh PKP ini iaitu 50 orang di masjid dan 20 orang di surau manakala majlis tahlil dan talkin tidak dibenarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE