KUALA NERUS: Kesedihan seramai 450 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri di kampung terubat apabila mereka berpeluang menikmati juadah hari raya yang diagihkan pihak universiti, hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unisza, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, sumbangan makanan termasuk nasi briyani, nasi minyak, sate, ketupat dan kuih-muih itu bertujuan menceriakan pelajar di samping menjaga kebajikan mereka.
Katanya, lebih istimewa apabila kebanyakan mereka didapati hadir dengan berbaju kurung dan Melayu bagi menghidupkan suasana Syawal.
“Agihan juadah berkenaan dilakukan bermula pukul 9.30 pagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak penuntut berkumpul beramai-ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut Mohd. Afandi, sumbangan makanan itu turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Dalam pada itu, katanya, pelajar yang tinggal di kampus sentiasa mengemaskini sistem penilaian risiko kesihatan menerusi aplikasi yang dibangunkan Unisza.
“Menerusi kaedah itu pihak pengurusan universiti dapat mengawal pergerakan pelajar sekali gus membendung penularan Covid-19 dalam kampus.
“Pelajar di kampus bebas beriadah seperti berjoging mengikut SOP dan kita juga meningkatkan capaian internet di dalam kampus untuk keselesaan mereka,” katanya.
Kira-kira 2,300 pelajar Unisza pulang ke kampung masing-masing secara berperingkat dari 8 hingga 11 Mei lalu.