36 individu jadi ‘keldai’ sindiket pinjaman peribadi bernilai RM4.7 juta - Utusan Malaysia

36 individu jadi ‘keldai’ sindiket pinjaman peribadi bernilai RM4.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Guna 36 individu sebagai ‘keldai’ untuk membuat permohonan pinjaman peribadi bernilai lebih RM4.7 juta menggunakan dokumen palsu.

Itu kegiatan dilakukan satu sindiket penipuan pinjaman pembiayaan yang terbongkar selepas lapan individu termasuk enam kakitangan sebuah bank terkemuka di ibu kota.

Penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang pegawai institusi kewangan mengenai 36 permohonan pembiayaan peribadi diluluskan pihaknya sejak 2019 yang disyaki menggunakan dokumen palsu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menahan lapan suspek di sekitar Lembah Klang pada 1 Mei lalu.

“Lapan suspek yang ditahan itu terdiri daripada enam pegawai institusi kewangan dan dua ejen sindiket.

“Polis turut merampas lapan telefon bimbit, sembilan slip gaji peminjam dan satu unit cakera keras yang disyaki dapat membantu siasatan,” katanya dalam sidang akbar di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sindiket terbabit menyasarkan individu yang tidak layak untuk membuat pinjaman sama ada disenarai hitam atau tidak mempunyai punca pendapatan tetap.

Kata beliau, modus operandi yanh digunakan sindiket adalah dengan menyediakan dokumen sokongan seperti surat lantikan kerja dan penyata kewangan yang palsu bagi melayakkan peminjam mendapat pembiayaan manakala kakitangan bank yang mempunyai kaitan dengan sindiket itu akan meluluskan pembiayaan tanpa membuat pemeriksaan serta pengesahan teliti.

“Setiap peminjam dianggarkan membuat pinjaman berjumlah RM150,000. Selepas pembiayaan diluluskan, peminjam hanya menerima 30 peratus daripada jumlah pembiayaan itu.

“Sementara baki pinjaman disimpan oleh sindiket dengan alasan mereka akan membayar ansuran bulanan selama 20 bulan dan selebihnya adalah komisen atas kerja mereka lakukan,” jelasnya.

Tambah beliau, dua peminjam sudah hadir memberi keterangan dan polis sedang giat mengesan baki 34 individu lagi yang berusia 24 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit dan kes berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Putrajaya Asisten Superintendan Mohamed Hanafiah Mohamed Nawi di talian 012-6044600 atau 03-88862222,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya