IPOH: Sebanyak 31 kes membabitkan pelbagai kesalahan dilakukan peniaga di negeri ini direkodkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 sejak 21 April lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, daripada jumlah itu, lapan kes kerana kesalahan tiada tanda harga, 11 kes bagi kesalahan tiada tanda harga khas berwarna merah jambu dan enam kes masing-masing atas kesalahan menjual melebihi harga kawalan dan alat timbang tidak ditentusahkan.
Katanya, kesemua kes itu membabitkan nilai rampasan berjumlah RM2,197.99 dan kompaun sebanyak RM4,000 telah dikeluarkan kepada peniaga terlibat.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu sehingga semalam, kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas 5,525 premis di seluruh negeri.
“Dalam tempoh tersebut, hanya dua aduan diterima mengenai harga yang mengelirukan dan tiada tanda harga,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, menerusi skim itu, sebanyak 29 barangan harga terkawal disenaraikan termasuk ayam, telur ayam, daging, hasil laut, sayur-sayuran dan barangan kering.
“Tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah baik dengan kedudukan harga dan bekalan barangan keperluan lain adalah stabil serta mudah diperolehi di pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE