PUTRAJAYA: Hampir seluruh Daerah Kota Setar di Kedah bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang akan bermula pada Rabu ini meliputi 28 mukim di daerah itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, sebanyak 975 kes aktif Covid-19 dilapor di seluruh daerah itu dengan enam mukim sebagai berstatus zon merah.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan mengesahkan penularan wabak berkenaan tersebar luas dalam tempoh lapan hari sejak 8 Mei lepas dengan 799 kes positif menjadikan hampir 100 kes sehari di daerah tersebut direkodkan secara purata melibatkan beberapa kluster sedia ada dan paling baharu dikesan, Kluster Dah Putih.
“PKPD juga bakal dikenakan di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, Kelantan dengan peningkatan peratusan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu lalu dengan 74 individu direkodkan sebagai positif Covid-19,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu tambah beliau, PKPD yang melibatkan sebuah taman perumahan di Pahang dan sebuah rumah panjang di Sarawak dilanjutkan lagi tempoh waktunya membabitkan Taman Tanah Putih di Kuantan, Pahang sehingga 25 Mei ekoran masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk.
Begitu juga PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan, Sarikei, Sarawak yang sepatutnya bakal berakhir pada Rabu ini, tetapi akan ditambah lagi sehingga 26 Mei depan.
Bagaimanapun jelas Ismail Sabri, PKPD di Kampung Meripoh dan Kota Bahagia, Muadzam Shah, Rompin, Pahang yang berakhir pada 23 Mei depan ditamatkan hari ini lebih awal.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 569 individu diberkas berbanding 639 individu ditahan kelmarin.
“Daripada jumlah itu, 466 dikompaun manakala 103 lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis,” katanya.
Kesalahan tersebut katanya, mencatatkan penurunan kepada 127 kes diikuti tidak memakai pelitup muka (103), gagal patuh jarak fizikal (65) dan pelbagai kes lain (274).
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 676 individu tiba di tanah air semalam selain sejumlah 7,708 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib manakala seramai 2,015 individu terlibat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan 195,968 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing.