PUTRAJAYA: Malaysia kembali merekodkan jumlah penurunan kes positif baharu Covid-19 iaitu 2,500 berbanding semalam, 3,418 kes.
Biarpun kes menunjukkan penurunan namun ia mengatasi kes sembuh iaitu 2,068 kes.
Sebanyak 18 kematian dan sembilan kluster direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 30,753 kes berbanding semalam, 30,339 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 352 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 186 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, Selangor terus menjadi negeri tertinggi kes positif biarpun tidak melebihi 1,000 kes seperti sebelum ini dengan hanya merekodkan 637 kes diikuti Kelantan, 401 kes; Sarawak, 356 kes; Johor, 205 kes; Kuala Lumpur, 200 kes; Pulau Pinang, 194 kes dan Kedah, 103 kes.
“Enam negeri merekodkan kes dua angka iaitu Negeri Sembilan, 97 kes; Melaka, 95 kes; Perak, 59 kes; Sabah, 57 kes; Pahang, 55 kes dan Terengganu, 38 kes.
“Bakinya, Putrajaya, tiga kes manakala Labuan dan Perlis, masing-masing sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, 18 kes kematian melibatkan tujuh kes di Selangor, tiga kes di Kuala Lumpur, dua kes di Sarawak, dua kes di Kelantan manakala Negeri Sembilan, Kedah, Johor, dan Sabah, masing-masing satu kes dengan mencatatkan 17 kes warga tempatan dan satu warga asing.
“Kes melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita termasuk satu warga asing berusia antara 29 hingga 87 tahun dengan pelbagai latar belakang penyakit.
“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, strok, darah tinggi, strok, dislipidemia, obesiti, buah pinggang kronik, cellulitis, follicular adenoma dan addison disease,” katanya.
Mengulas mengenai sembilan kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan tiga kluster komuniti, tiga kluster tempat kerja, dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan KPM serta satu kluster pusat tahanan.
Tiga kluster komuniti katanya, Kluster Lorong Galing di Kuantan, Pahang, 13 kes serta Kluster Jalan Dahlia Lima di Melaka Tengah, Melaka, 11 kes dan Kluster Bunga Raya melibatkan Kuala Muda dan Kulim, Kedah, 10 kes.
“Kluster tempat kerja merekodkan tiga kluster iaitu Kluster Industri Mahkota 2 di Kuala Langat, Selangor, 121 kes serta Kluster Jalan Jati Industri melibatkan Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor, 26 kes dan Kluster Tok Has melibatkan Besut dan Setiu, Terengganu, 29 kes.
“Dua kluster pendidikan pula, Kluster Jalan Bandar di Johor Bahru, Johor, 18 kes dan Kluster Indera Mahkota Dua di Kuantan, Pahang, 16 kes manakala Kluster Jalan Meru Utama adalah kluster pusat tahanan melibatkan Kinta, Batang Padang, Kuala Kangsar, serta Larut, Matang, dan Selama, Perak, 40 kes,” katanya.
Tambahnya, tujuh kluster yang tamat iaitu Kluster Kalindukan, Kluster Merinding, Kluster Tanjung Genting, Kluster Bunga Tanjung Bendahara, Kluster DTI Jalan Duta, Kluster Jalan Dahlia 22, dan Kluster Taman Komersial. – UTUSAN ONLINE
End