PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan jumlah kematian akibat Covid-19 sebanyak 49 kes yang melibatkan 38 warga emas manakala Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 14 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes kematian melibatkan 14 kes di Selangor, lapan kes di Johor, masing-masing enam kes di Pulau Pinang dan Melaka, empat kes di Kedah, tiga kes di Sarawak, masing-masing dua kes di Sabah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis.
Katanya, seramai 26 lelaki dan 23 wanita termasuk seorang warga asing berusia antara 25 hingga 93 tahun melibatkan pelbagai latar belakang penyakit.
“Enam kes meninggal dunia di kediaman masing-masing manakala 43 lagi meninggal di hospital Covid-19 antara pukul 12.01 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari, hari ini.
“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang kronik, paru-paru, obesiti, strok, gout, asma dan hepatitis B,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 merekodkan menghampiri 7,000 kes iaitu 6,976 kes dengan Selangor terus menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,235 kes manakala sebanyak 3,587 kes sembuh dan kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 57,022 kes.
Katanya, sebanyak 681 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 361 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selain Selangor yang terus merekodkan kes melebihi 2,000 kes sejak beberapa hari lalu, manakala majoriti negeri merekodkan kes tiga angka iaitu Sarawak, 663 kes; Kelantan, 626 kes; Johor, 549 kes; Kuala Lumpur, 447 kes; Negeri Sembilan, 434 kes; Kedah, 422 kes; Pulau Pinang, 372 kes; Perak, 279 kes; Terengganu, 266 kes; Pahang, 263 kes; Melaka, 209 kes dan Sabah, 136 kes.
“Labuan, 37 kes; Putrajaya, 30 kes; manakala Perlis, lapan kes,” katanya.
Mengulas mengenai 24 kluster, beliau berkata, sembilan kluster tempat kerja; lapan kluster komuniti, enam kluster keagamaan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Sembilan kluster tempat kerja katanya, Kluster Jalan Kempas Dua di Muar, Johor, 68 kes; Kluster Persiaran Cassia Selatan Dua di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, 56 kes; Kluster Jalan Bukit Puchong di Petaling, Selangor, 38 kes; Kluster Jalan Enam Selatan melibatkan Sepang, Kuala Langat, Petaling, Selangor; Cheras, Kuala Lumpur; Putrajaya; Seremban, Rembau dan Port Dickson, Negeri Sembilan, 31 kes.
“Lima lagi iaitu Kluster Industri Bukit Minyak di Seberang Perai tengah, Pulau Pinang, 28 kes; Kluster Kemuning Tujuh melibatkan Klang dan Petaling, Selangor, 26 kes; Kluster Jalan Kilang Ubi di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, 16 kes; Kluster Jalan Perindustrian Lima di Muar, Johor, 15 kes dan Kluster Bandar Jalan Putra di Kuantan, Pahang, 13 kes.
“Bagi lapan kluster komuniti, Kluster Simpang Juasseh melibatkan Jempol, Kuala Pilah dan Seremban, Negeri Sembilan, 54 kes; Kluster Jarum Laut di Tangkak, Johor, 38 kes; Kluster Bukit Temedak di Pakan, Sarawak, 30 kes; Kluster Kampung Paroh di Besut, Terengganu, 26 kes; Kluster Jalan Mangga di Kota Kinabalu, 14 kes; Kluster Kampung Jakar di Machang, Kelantan, 10 kes; Kluster Taman Sourabaya Indah di Kuching, Sarawak, sembilan kes dan Kluster Kampung Panggong di Pasir Puteh, Kelantan, lapan kes,” katanya.
Tambahnya, enam kluster keagamaan iaitu Kluster Permai Sejahtera melibatkan Lipis dan Kuantan, Pahang, 71 kes; Kluster Terendak Permai di Melaka Tengah, Melaka, 27 kes; Kluster Dah Seri Perigi di Yan, Kedah, 21 kes; Kluster Taman Majupadu di Kluang, Johor, 15 kes; Kluster Jalan Desa Satu di Kuala Selangor, Selangor, 12 kes dan Kluster Parit Dato Onn di Pontian, Johor, 11 kes.
“Satu kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Temiang di Seremban, Negeri Sembilan, 13 kes,” katanya.