22 petugas media Perak diarah kuarantin - Utusan Malaysia

22 petugas media Perak diarah kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi di negeri ini menjalani kuarantin setelah dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Mereka bersama kira-kira 40 yang lain adalah tetamu pada majlis berbuka puasa anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara di sebuah hotel di Tambun pada Selasa lepas yang turut melibatkan penggiat industri pelancongan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Penggiat industri pelancongan itu hadir dalam rangka projek meneroka produk pelancongan baharu di Perak dengan mengikut garis panduan Gelembung Pelancongan sepertimana ditetapkan pihak berkuasa.

Tourism Perak dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua mereka telah diminta menjalani ujian calitan selepas dikesan menjadi kontak rapat kepada pemandu bas yang membawa kumpulan ejen pelancong berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pemandu bas itu didapati positif Covid-19 semasa melakukan ujian calitan di klinik Kesihatan Kampar pada Khamis lalu bagi tugasan beliau seterusnya untuk membawa kumpulan peserta lain ke Genting Highlands.

“Pengesanan awal ini menyebabkan kesemua peserta yang terlibat semasa program berkenaan telah dihubungi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menjalani ujian calitan Covid-19.

“Bagaimanapun, keputusan ujian saringan peserta lain yang mengikuti program ini didapati negatif dan dinasihatkan untuk melalui prosedur kuarantin di Ulu Kinta sehingga Sabtu ini serta perlu melakukan ujian calitan kedua pada Khamis ini,” ujar kenyataan tersebut.

Tetamu yang terdiri daripada agensi dan petugas media juga telah diarahkan untuk melakukan ujian calitan pada 2 Mei dan memulakan kuarantin di rumah pada hari yang sama sehingga 7 Mei ni.

Kata kenyataan itu, pihak Tourism Malaysia Wilayah Utara selaku penganjur program telahpun mendapat kelulusan permit perjalanan rentas negeri daripada polis atas tujuan tugasan rasmi dan mengikut prosedur yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah dilaksanakan sepanjang program tersebut berlangsung.

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN bagi membolehkan langkah pengesanan awal dapat dibuat oleh KKM sebelum ianya merebak dan menjadi tular.

“Kerajaan negeri juga berasa kesal dan akan mengambil iktibar di atas kejadian yang telah berlaku dengan akan memastikan SOP yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya bagi mana-mana program yang dianjurkan,” ujar kenyataan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN