KOTA KINABALU: Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021 memasuki pusingan seterusnya setelah pemilihan top 21 oleh juri profesional berlangsung semalam.
Barisan teratas 21 UNK 2021 memperlihatkan 21 jelitawan akan berentap dalam pusingan akhir yang akan diadakan secara dalam talian pada 30 dan 31 Mei.
Antara 21 peserta mara ke pusingan akhir ini ialah Abigail Paul Makajil (Pantai Manis); Avrill Elvira (Tanjung Keramat); Belkage Sindam (Tamparuli); Carrey Evanne (Penampang); Rozeline John (Balung); Crystell Esther (Limbahau); Dianarin Vahidin (Paginatan); Emily Chung (Luyang); Malle Christian (Matunggong); Febby Angelica (Kundasang); Felcy Fransie (Petagas); Ivy Elchrisstia (Tenom); Brolyn Benjamin (Kiulu); Kareline Bukah (Nabawan); Kimberley Lim (Telupid); Lisa Christie (Tulid); Maya Hejnowska (Api- Api); Michelle Yong (Membakut); Sharon Stephen (Kawang); Tracie Sinidol (Tambunan) dan Valerieana Karen (Elopura).
Pengerusi UNK Kaamatan 2021, Joanna Kitingan berkata, 21 peserta ini dipilih dalam kalangan 79 peserta yang mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat negeri di Semenanjung Malaysia.
Undian bagi peserta top 21 ini dinilai oleh juri profesional setelah proses undian berbayar dibatalkan selepas mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Menurutnya, proses undian berbayar secara online itu sebagai usaha mengumpul dana bagi membantu Rumah Perlindungan Makatip di Tambunan serta menampung kos perbelanjaan bagi penganjuran UNK tahun ini.
Penganjuran UNK kali ke-61 ini berdepan banyak perubahan dan cabaran berikutan pandemik Covid-19.
Pertandingan akhir UNK Kaamatan tanpa sempadan 2021 akan berlangsung secara dalam talian pada 31 Mei ini iaitu pada hari kemuncak sambutan Pesta Kaaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, KDCA.
Pertandingan ratu cantik UN ini diadakan setiap tahun sempena Pesta Kamaatan. UN melambangkan keunggulan wanita muda Kadazan Dusun Murut (KDM) yang mencerminkan kemurnian, kesopanan dan kejelitaan Huminodun yang sanggup berkorban demi keharmonian kaum KDM pada masa dahulu.
Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Sabah ketika ini, semua acara Pesta Kaamatan dan UNK diadakan secara dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pesta Kaamatan yang diraikan oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) pada bulan Mei setiap tahun bagi menghormati semangat padi. -UTUSAN ONLINE