BUTTERWORTH: Tindakan berani dua lelaki yang mahu menjual air ketum di sekitar Pantai Bersih dekat sini memakan diri apabila mereka ditahan polis, malam tadi.
Suspek berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.40 tengah malam oleh pasukan polis yang melakukan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sedang membawa air ketum itu yang disimpan di dalam dua kotak polisterin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 112 bungkus air ketum di dalam dua kotak polisterin yang dibawa dipercayai untuk dijual.
“Mereka mendakwa mendapat bekalan air ketum daripada rakan di Taman Penaga, Kepala Batas untuk dijual pada harga RM7 sebungkus.
“Siasatan turut mendapati suspek terlibat dalam kegiatan itu sejak kira-kira tiga bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di dalam sebuah bilik hotel di sini dipercayai untuk menghisap dadah, awal pagi tadi.
Beliau berkata, dalam operasi kira-kira pukul 3.30 pagi itu, pihaknya merampas masing-masing satu plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki ganja dan syabu serta dua bungkus air ketum.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE