KANGAR: Terpancar wajah kegembiraan kira-kira 1,927 penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) apabila dapat menyambut Aidilfitri minggu depan di kampung halaman.
Ada dalam kalangan mereka dihantar pulang oleh pihak pengurusan universiti yang menyediakan kira-kira 20 buah bas ke destinasi masing-masing bermula malam tadi.
Selain dihantar pulang, mereka juga dibenarkan pulang dengan kenderaan sendiri selain ibu bapa atau penjaga datang mengambil di kampus universiti.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimap, Prof. Dr. Mohd. Rizal Arshad memberitahu, proses penghantaran tersebut terbahagi kepada empat zon iaitu zon pantai timur, selatan, utara dan tengah.
Katanya, penghantaran tersebut bermula semalam sehingga 9 Mei bagi destinasi ke Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Pahang.
“Unimap menyediakan 20 buah bas bagi menghantar penuntut ke destinasi yang telah dikenal pasti sekali gus membolehkan mereka kembali ke pangkuan keluarga untuk berhari raya. Malah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kita juga turut melaksanakan pembahagian penghantaran zon pada masa yang berbeza sehingga 9 Mei ini,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rizal, inisiatif Unimap menyediakan bas adalah untuk memastikan keselamatan penuntut terjamin dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini.
“Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam tidak dibenarkan sama sekali. Hanya tiga kaedah penghantaran yang dibenarkan iaitu kenderaan sendiri, diambil oleh ibu bapa atau penjaga dan pengangkutan yang disediakan Unimap,” katanya.
Sementara itu beliau memberitahu, penuntut yang akan kembali ke kampus nanti juga akan menggunakan kaedah yang sama.
“Kita akan mengambil semula penuntut dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang perlu kembali ke kampus berdasarkan keperluan seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.