PUTRAJAYA: Sebanyak 191 pusat komuniti desa (PKD) diaktifkan sebagai pusat daftar vaksin (PDV) luar bandar di seluruh negara sejak 20 Mei lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, sebanyak 2,481 penerima vaksin berjaya didaftarkan sejak awal bulan ini menerusi inisiatif pengaktifan PKD tersebut.
Beliau berkata, kementerian turut menyasarkan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus jumlah pendaftaran vaksin sedia ada seterusnya mempercepatkan lagi proses imunisasi Covid-19 terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Langkah ini dibuat bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 139 PKD mempunyai perkhidmatan internet dan 52 PKD lagi dalam proses pemasangan perkhidmatan kemudahan jalur lebar itu.
“Bagi 52 buah PKD yang sedang dalam proses pemasangan perkhidmatan internet, pendaftaran luar talian akan dilaksanakan menggunakan aplikasi khas yang dibangunkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi,” katanya.
Sementara itu, Abd. Latiff berkata, bagi melancarkan urusan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), para pengurus PKD akan menjadi barisan hadapan Kementerian ini dalam membantu melancarkan pendaftaran secara dalam talian menggunakan portal www.vaksincovid.gov.my.
Selain itu, katanya, peranan pengurus PKD akan dipertingkatkan dan diperluaskan bukan hanya dalam aspek pendaftaran vaksin tetapi dalam memberikan penerangan dan mempromosikan kebaikan pengambilan vaksin kepada masyarakat di luar bandar.
“Kelebihan PKD yang terletak di kawasan luar bandar serta kebolehan dan pengalaman pengurus-pengurus PKD dalam membantu mengendalikan proses pendaftaran ini secara teratur, tepat dan cepat akan membolehkan kerajaan meningkatkan jumlah pendaftar dan penerima vaksin di seluruh negara,” katanya.
Senarai PKD boleh diperoleh menerusi laman web https://www.rurallink.gov.my/pusat-komuniti-desa-pkd/. -UTUSAN ONLINE