GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang akan melaksanakan 15 sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri ini menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan tiada cubaan rentas negeri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, pemeriksaan ketat di SJR itu dijalankan bagi memastikan tiada penularan wabak dari luar negeri itu dibawa masuk ke Pulau Pinang.
“Cuti kesemua anggota polis negeri ini juga telah dibekukan sebagai persediaan untuk menjalankan tugas-tugas ketika musim perayaan ini.
“Ketika ini, kes Covid-19 semakin meningkat, jadi pihak polis harus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ismail berkata, tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Buat masa ini, Pulau Pinang masih di bawah PKPB yang mana ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal.
Namun, bagi kawasan PKPB kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
Menurut Sahabudin, polis negeri ini juga tidak akan menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah semasa perayaan yang akan datang.
“Sebaliknya, ketua polis daerah yang akan memutuskan ke kawasan mana yang akan mereka periksa berdasarkan maklumat yang diterima,” tambahnya. -UTUSAN