PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 14 lagi kes varian South Africa B.1.351 yang menjadikan jumlah keseluruhan 62 kes positif Covid-19.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan tujuh kes daripada Kluster Kampung Domis di Kelantan, tiga kes kontak rapat kes aktif di Selangor serta satu kes menjangkiti petugas kesihatan di Kelantan.
Katanya, dua lagi kes di Kedah dan satu kes di Negeri Sembilan dalam Kluster Bangkahulu.
“Apa yang membimbangkan kita (KKM) adalah pertambahan varian di mana, kita sudah mengesan empat Variant of Concern (VOC) yang membimbangkan iaitu varian South Africa, varian United Kingdom (UK) B.1.1.7, varian India B.1.617.1 dan varian Brazil.
“Setakat ini, kita tidak lagi mengesan varian Brazil di Malaysia. Kewujudan varian terbabit membimbangkan kerana ia boleh menular dengan cepat dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, semua varian ini semakin merebak malah telah merebak ke banyak negeri.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, ia diharapkan dapat mengawal dan mengelakkan jangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
April lalu, empat lagi kes tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351 dikesan KKM sekali gus menjadikan bilangan pesakit varian tersebut meningkat kepada 21 kes.
Dr. Noor Hisham berkata, ia susulan daripada penemuan 17 kes varian terbabit yang dilaporkan dari Januari sehingga Mac lalu, dengan survelan genomik Covid-19 terus dijalankan dan melibatkan lebih banyak sampel dari negeri-negeri di seluruh negara.
“Penemuan empat yang terbaharu itu adalah melalui survelan genomik yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan varian terbabit dari 15 April sehingga 23 April 2021,” katanya. -UTUSAN ONLINE