PUTRAJAYA: Pemakaian tanjak ketika sambutan Aidilfitri kali ini mulai menjadi fenomena apabila ramai secara terbuka mengenakan alas kepala tradisional warisan Melayu tersebut.
Kempen dikenali ‘Mari Bertanjak’ digerakkan Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (Pernilam) itu menyaksikan sarung kepala tersebut mula popular menggantikan songkok atau kopiah.
Beberapa selebriti terkenal tanah air antaranya penyanyi Fakhrul daripada kumpulan nasyid UNIC selain ramai pemimpin politik tempatan turut tampil memuat naik foto diri mereka bertanjak.
Acara dianjurkan Pernilam sejak ditubuhkan pada 2018 itu sebagai usaha membangkitkan semula amalan bertanjak, selain disebut destar atau tengkolok, bagi mengenal jati diri bangsa.
Tidak ketinggalan menyertai kempen tersebut ialah Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Putrajaya, Norsyahrin Hamidon bersama empat anak lelakinya.
“Kenapa perlu malu bertanjak, walhal sepatutnya generasi muda Melayu lebih berasa bangga apatah lagi ketika merai sambutan kebesaran Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau turut menyambut baik usaha Pernilam dengan disokong 55 pertubuhan bukan kerajaan di seluruh negara yang lebih sistematik mengajak masyarakat Melayu untuk kembali bertanjak.
Bahkan, beliau sedia mengeluarkan kos lebih RM50 bagi setiap tanjak ketika menempah baju Melayu untuk anak-anaknya di sebuah kedai jahitan bersempena menyambut bulan Syawal.
Turut sama menyahut seruan untuk bertanjak setiap kali Aidilfitri itu ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Idzham Hadi Sidik.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia malah turut menjual lebih 30 tanjak kepada rakan-rakan untuk memeriahkan lagi pemakaian berkenaan.
“Saya pernah ditegur kononnya tampak pelik seolah pendekar zaman dahulu atau seperti pengantin tetapi saya optimis budaya bertanjak akan menjadi busana harian lazim,” jelasnya.
Apatah lagi ujarnya, sudah banyak premis pakaian yang menjual aneka jenis tanjak namun mengingatkan bahawa setiap ikatan atau lilitan itu sebenarnya ada makna tersirat tertentu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pernilam, Eszeree Sabri berkata, kempen kali ini turut disertai oleh Komunitas Melayu Bertanjak yang menganjurkan program Indonesia Bertanjak.
Bagaimanapun tegasnya, acara tersebut tiada kena-mengena untuk memperingati insiden berdarah 13 Mei 1969, sebaliknya ia secara kebetulan jatuh pada tarikh 1 Syawal 1442 Hijrah.
Ada beberapa lazim dipakai seperti Mahkota Alam, Balong Ayam, Bulang Bidang, Laksamana Muda, Nakhoda Trong, Dendam Lara, Naga Emas, Sisir Panglima dan Putera Kayangan.
“Namun berdasarkan pemerhatian kami, ramai tempah tanjak Bugis Tak Balik yang melambangkan imej kedukaan, mungkin kerana tidak dapat pulang beraya di kampung,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE