PUTRAJAYA: Sambutan Hari Gawai 2021 melibatkan 11 rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan Stalon di Daerah Tanjung Manis, Bahagian Mukah, Sarawak mungkin suram.
Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan berkenaan bermula Rabu ini, sehari selepas perayaan terbesar diraikan masyarakat tempatan di negeri itu pada esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan mendadak kes Covid-19 sepanjang seminggu.
“Justeru, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD berkuat kuasa 2 Jun hingga 15 Jun bagi menyekat pergerakan keluar dan mengekang wabak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Rumah panjang yang terlibat ialah Mut anak Merom @ Bohom, Sana anak Changgai, Jimbun anak Saging, Bon anak Depa, Empading anak Edi, Jaapar anak Anyut dan Jebat anak Talak.
Rumah panjang yang turut dikenakan PKPD ialah Puso anak Lunak, Nyalau anak Engkamat, Noh anak Bin dan Damat anak Enggie dengan kes dipercayai daripada majlis pengebumian.
Menurut Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, ada beberapa individu menghadiri program itu yang diadakan selama empat hari bermula dari 12 Mei lalu sebelum merebak ke lokaliti lain.
Ismail Sabri berkata, PKPD juga akan dikenakan di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Daerah Jerantut, Pahang selama tempoh 14 hari yang bakal bermula pada lusa ekoran pertambahan sebanyak 10 kes positif baharu dalam masa tujuh hari sahaja.
Katanya, begitu juga Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai, Daerah Batang Padang, Perak yang turut dilaksanakan PKPD bagi tempoh sama susulan lonjakan kes yang ketara di lokaliti ini.
Sementara itu di Sabah katanya, dua lokaliti berbeza juga dikenakan PKPD iaitu Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu serta Jalan Klias 2 dan 3 di Kampung Klias Baru, Beaufort.
Jelasnya, PKPD meliputi 28 mukim di Daerah Kota Setar, Kedah yang sepatutnya tamat esok, namun dilanjutkan lagi selama dua minggu sehingga 15 Jun.
Namun, PKPD di dua lokaliti di Kelantan dengan nama sama iaitu Kampung Pauh Lima yang masing-masing di Mukim Banggu, Kota Bharu dan Muki Gunong, Bachok berakhir hari ini disebabkan tiada lagi kes baharu direkodkan dan tiada sampel ujian saringan menunggu keputusan rasmi makmal.