Lelaki OKU jual nasi lemak guna motosikal roda tiga - Utusan Malaysia

Lelaki OKU jual nasi lemak guna motosikal roda tiga

MOHD. Asri Mohd Ismail mencari rezeki dengan menjual nasi lemak menggunakan motosikal roda tiga di Bazar Ramadan Tanjong Tokong, Pulau Pinang. – Mingguan/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selepas kebakaran di Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah November tahun lalu, Mohd. Asri Mohd Ismail, 51, hilang punca pendapatan apabila gerai nasi lemaknya turut terbakar dalam kejadian berkenaan.

Sebagai peniaga orang kurang upaya (OKU) di bahagian kaki, pergerakan Mohd. Asri yang merupakan bapa kepada enam anak berusia 22 hingga 10 tahun itu agak terbatas apabila tidak mampu berdiri lama bagi menjalankan pekerjaan.

Mohd. Asri berkata, sejak November tahun lalu, pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 yang diperoleh hasil menjual nasi lemak dan pelbagai lauk-pauk di situ turut hilang.

Katanya, sebagai ketua keluarga dia tetap perlu mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan memilih berniaga nasi lemak menggunakan motosikal roda tiganya di merata-rata lokasi di sekitar Tanjong Tokong dekat sini.

Kini Mohd. Asri berkata, dia berniaga nasi lemak yang dibalut daun pisang itu di bazar Ramadan Tanjung Tokong di sini untuk mencari pendapatan tambahan buat keluarganya bagi menyambut Aidilfitri.

“Nasi lemak ini adalah punca pendapatan saya sejak 18 tahun dahulu, sebelum ini saya berniaga di Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah namun selepas tempat itu terbakar punca pendapatan saya turut hilang.

“Saya teruskan juga berniaga nasi lemak ini secara kecil-kecilan dengan menaiki motosikal roda tiga yang telah diubah suai, dapatlah saya cari wang untuk anak-anak dan isteri,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Tanjong Tokong, di sini semalam.

Menurut Mohd. Asri, ketika berniaga sepenuh masa di Kompleks Selera Mutiara, dia mampu menjual nasi lemak kira-kira lebih 10 kilogram beras setiap hari.

“Tetapi sekarang ketika di bazar saya hanya menjual nasi lemak berserta sambal bilis dan telur sahaja yang dibalut siap di dalam daun pisang, dalam sehari nasi lemak berharga RM2 ini dapat dijual sekitar 70 bungkus sahaja,” katanya.

Bagi yang ingin merasai keenakan nasi lemak Mohd. Asri, boleh berkunjung ke Bazar Ramadan atau hubunginya di talian 017-4171435.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN