SEREMBAN: Pusat Perubatan Mawar dekat sini menyediakan 100 suntikan dos vaksin Covid-19 sehari bermula hari ini bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Chiew Ping berkata, pihaknya menyambut baik langkah melibatkan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin yang dilihat dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin terutama kepada warga emas.
“Hari ini, kami mula memberi 100 dos suntikan setiap hari dan sebanyak 500 seminggu dos akan digunakan. Vaksin ini akan diberi dengan keutamaan kepada warga emas mengikut senarai nama yang diberikan menerusi MySejahtera.
“Bagaimanapun, sekiranya penerima vaksin tidak hadir, kami akan menyenaraikan penerima simpanan yang berusia 60 tahun ke atas yang menerima rawatan di hospital ini. Kami juga akan memberi peluang kepada ahli keluarga pekerja di hospital ini sebagai penerima simpanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penerima vaksin, Datuk Mohamed Husin,77 berkata, dia menerima vaksin hari ini selepas mendapat mesej melalui MySejahtera, malam semalam.
“Saya memang gembira dapat menerima vaksin dan mengakui agak risau pada awalnya kerana saya mempunyai penyakit.
“Namun, selepas selesai menerima vaksin untuk dos pertama ini saya agak lega,” katanya.
Seorang lagi penerima vaksin, Noridah Suhur, 78, berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya malam semalam bahawa dia akan mendapat suntikan vaksin pada hari ini.
“Anak saya yang tolong daftarkan untuk saya menerima vaksin ini di MySejahtera.
“Saya tidak risau apa-apa untuk terima suntikan dan Alhamdullilah sudah selesai dan saya lega juga,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE