JOHOR BAHRU: Polis menahan 10 individu yang disyaki terlibat dalam satu insiden pergaduhan dipercayai berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas dan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 6.45 petang, Rabu lalu.
Menurut beliau, kesemua individu yang ditahan berusia antara 12 hingga 45 tahun.
“Pada tarikh berkenaan, polis menerima aduan orang awam bahawa terdapat satu pergaduhan melibatkan sekumpulan penduduk di kawasan lapang PPR Kempas.
“Siasatan dibuat mendapati pergaduhan itu melibatkan dua buah keluarga dan berpunca daripada masalah peribadi antara mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, dua video berdurasi satu minit 30 saat dan satu minit 38 saat menunjukkan insiden pergaduhan dua kumpulan itu tular di media sosial.
Menerusi video terbabit, pada awalnya kejadian itu hanya perselisihan faham antara dua lelaki yang dilihat saling berbalas perang mulut.
Tidak lama kemudian kelihatan seorang wanita bertudung warna merah jambu bertindak memukul seorang lelaki sebelum berlaku pergaduhan.
Turut tular dakwaan mengatakan pergaduhan berkenaan melibatkan seorang individu yang memegang jawatan peringkat bahagian sebuah parti politik di negara ini.
Rupiah berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun terhadap kesemua individu terlibat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kesemua yang terlibat dikenakan kompaun dibawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020. Selain itu, pergaduhan berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE