1.28 juta dos vaksin SinoVac sedia diagih ke seluruh negara - Utusan Malaysia

1.28 juta dos vaksin SinoVac sedia diagih ke seluruh negara

ADHAM Baba (dua kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope (kiri) melihat vaksin sinovac dalam majlis Penyerahan Vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga di Kementerian Kesihatan. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat kini boleh menerima vaksin jenama CoronaVac keluaran firma SinoVac Biotech Ltd. dari China yang dibotolkan semula syarikat tempatan, Pharmaniaga Bhd.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kejayaan julung kali itu susulan kelulusan pendaftaran vaksin ini oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

“Selepas 73 hari stok pertama 200 liter vaksin diterima secara pukal pada 27 Februari lalu, hari ini ialah detik bersejarah penyerahan empat kelompok pertama untuk kami,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Vaksin SinoVac Siap Dikilang Pharmaniaga Bhd. untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Kementerian Kesihatan di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md. Eusope dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.

Vaksin itu dibotolkan semula di kilang Pharmaniaga LifeScience di Puchong, Selangor sejak 1 Mac lalu dengan empat kelompok dihasilkan dalam masa lima hari dan diawasi NPRA.

Sebanyak 17 ujian kawalan kualiti dilakukan sejurus proses pembotolan yang dilakukan 14 jam sehari sebelum mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, kementerian itu.

Menjelas lanjut, Adham berkata, sehingga semalam, 1,284,147 bebuli vaksin SinoVac dihasilkan dan sedia diagihkan secara berperingkat dalam masa terdekat di seluruh negara.

“Hari ini, secara simbolik, saya menerima sekotak yang mewakili 290,480 bebuli daripada kelompok pertama dilulus NPRA untuk PICK,” katanya.

Uniknya, jelas beliau, tidak seperti jenama Pfizer-BioNtech yang satu bebuli untuk enam dos bagi enam penerima berbeza sementara vaksin SinoVac pula, cuma satu bebuli bagi satu dos penerima.

Ia juga boleh disimpan dalam peti sejuk biasa pada suhu serendah 5 darjah Celsius bawah paras beku berbanding bebuli Pfizer-BioNtech memerlukan suhu negatif 70 darjah Celsius.

Pharmaniaga juga katanya, bakal berupaya menghasilkan dua juta dos vaksin itu pada setiap bulan yang sekali gus mencukupi bekalan untuk keperluan pelan imunisasi rakyat negara ini.

Vaksin berkenaan ketika ini sudah digunakan secara meluas di 44 negara dengan lebih 350 juta dos sudah diagihkan selain efektif dalam mengekang varian baharu mutasi berganda. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya