Zahid perlu berjiwa besar untuk berundur - Utusan Malaysia

Zahid perlu berjiwa besar untuk berundur

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu berjiwa besar untuk mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan Presiden UMNO demi melakar semula perjalanan parti itu dalam landskap politik tanah air.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, Ahmad Zahid akan dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi oleh ahli akar umbi sekiranya beliau terus ‘bergayut’ dengan jawatan itu.

Oleh itu, katanya, dalam konteks survival UMNO, adalah amat penting untuk beliau mengambil langkah berundur dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak iaitu Timbalannya sendiri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilihat lebih berupaya, bersih dan berwibawa untuk mengemudi parti dalam pilihan raya umum akan datang sekali gus memastikan reputasi dan imej UMNO dapat dilonjakkan kembali.

“Saya bimbang kalau Ahmad Zahid terus berpegang atau bergayut kepada jawatan itu, ini bukan sahaja akan menjerumus parti itu ke dalam kancah masalah dalam PRU disebabkan bebanan liabiliti perlu ditanggung parti itu kerana lebih 50 kes membelenggu beliau di mahkamah sehingga boleh menggugat kedudukan UMNO.

“Jadi demi survival parti dan bagi membolehkan UMNO kembali muncul sebagai parti dominan sebagaimana yang dihasrat oleh seluruh kepemimpinan tertinggi dan ahli akar umbi, maka, langkah yang paling baik dan pragmatik ialah dengan memberi laluan kepada kepimpinan lain yang boleh mencorakkan semula parti itu ke dalam landskap poltik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia menyarankan mana-mana pe­mim­pin UMNO yang berdepan pertuduhan mahkamah harus berehat daripada parti atau meletak jawatan kerana mereka meninggalkan tanggapan buruk dalam kalangan rakyat.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang turut meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO jika mahu menteri-menteri dalam parti itu meletak jawatan atas dasar kepentingan bersama.

Dalam pada itu, Jeniri berkata, bagaimanapun beliau percaya, Ahmad Zahid faham akan kesan dan implikasi kepada tindakannya itu jika terus memegang jawatan berkenaan.

Oleh itu, katanya, jalan terbaik adalah dengan akur dan tunduk kepada suara lebih 3 juta ahli akar umbi yang mengatasi suara kepimpinan tertinggi di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (KMT).

“Bagi saya sebagai seorang pemimpin yang sudah berpengalaman dan jatuh bangun dalam UMNO, jadi akhirnya UMNO harus diberi peluang bernafas bermula.

“Kalau UMNO itu dapat bertahan dan muncul kembali nanti, maka kedudukan beliau mungkin akan diselamatkan UMNO di kemudian hari,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya