Yadim sasar hampir RM1 juta nilai jualan menerusi YADIMart - Utusan Malaysia

Yadim sasar hampir RM1 juta nilai jualan menerusi YADIMart

NASRUDIN Hassan (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli (tengah) memotong reben sebagai gimik pelancaran Pasar raya Yadimart di Seri Kembangan, Selangor. - UTUSAN FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menubuhkan sebuah pasar raya pertama, YADIMart dekat sini sebagai satu inisiatif gerakan dakwah dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, langkah ke hadapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu merupakan sebahagian daripada pelan kemapanan kewangan bagi menjana pendapatan yang akhirnya mampu dimanfaatkan kembali dalam usaha dakwah dan kebajikan.

Katanya, dengan kos permulaan operasi RM1 juta, pihaknya menyasarkan penjanaan nilai jualan kira-kira RM900,000 sebulan atau RM30,000 sehari dalam sektor peruncitan dan pemborongan.

“Fokus penjualan produk di pasar raya ini adalah mengutamakan produk bumiputera dan halal tanpa boikot barang-barang keluaran lain, oleh itu, kita berharap mendapat sokongan umat Islam terutamanya sebagaimana kita gerakkan kempen membeli produk muslim bagi membangun, mengukuhkan dan mengupayakan ekonomi umat Islam.

“Harga ditawarkan adalah berpatutan kerana masyarakat menaruh harapan kepada pasar raya muslim untuk mendapatkan barangan keperluan mereka. Keuntungan yang diperoleh akan dipulangkan semula kepada gerak kerja dakwah dan aktiviti musaadah golongan asnaf,” katanya selepas majlis pelancarannya, di sini hari ini.

Pasar raya YADIMart berkeluasan 5,880 kaki persegi itu menawarkan lebih 2,000 produk daripada kategori segar dan keperluan isi rumah dengan sokongan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Felda yang membekalkan produk mereka.

Nasrudin berkata, usahawan kecil dan sederhana bumiputera muslim juga diberi keutamaan untuk membekalkan produk mereka di YADIMart selain daripada produk-produk berjenama popular bagi isi rumah di negara ini.

Katanya, perniagaan YADIMart akan turut memberikan perhatian khusus kepada aspek sumbangan kebajikan dengan membuka ruangan food bank kepada kumpulan yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya meletakkan sasaran jangka panjang untuk menubuhkan satu YADIMart di setiap negeri.

“Diharapkan bahawa inisiatif YADIMart ini akan terus berkembang maju sekali gus menampilkan imej Islam yang bukan sekadar tangkas dalam arena dakwah dan kebajikan bahkan produktif terhadap pembangunan ekonomi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN