Waris pendeposit SSPN-i terima perlindungan takaful RM96,473.58 - Utusan Malaysia

Waris pendeposit SSPN-i terima perlindungan takaful RM96,473.58

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Waris kepada seorang ahli perniagaan yang juga merupakan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima perlindungan takaful dengan jumlah RM96,473.58.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pendeposit itu, S. Tamilselvan, 58, meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Oktober 2019 dan merupakan pendeposit SSPN-i yang telah membuka akaun pada 11 Ogos 2008 untuk dua anak beliau. 

“Ketika disahkan meninggal dunia, beliau mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkannya menerima manfaat perlindungan takaful dengan jumlah RM96,473.58 bersamaan dengan jumlah simpanan beserta khairat kematian sebanyak RM2,000,” katanya selepas mengunjungi waris pendeposit di kediaman mereka, di sini hari ini.

Ahmad Dasuki turut menambah, perkara tersebut merupakan keistimewaan SSPN-i yang memberikan manfaat perlindungan takaful percuma kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas.

“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab seorang bapa, namun simpanan di dalam SSPN-i dan nilai manfaat yang diterima ini dapat menampung kos pendidikan anak-anak beliau. 

“Mendiang telah membuat pilihan yang tepat dengan membuat perancangan kewangan untuk masa depan pendidikan anak-anak melalui SSPN-i bagi memastikan pendidikan dan masa depan anak-anaknya terus terjamin,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 2,985 tuntutan telah dibayar dengan jumlah manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian percuma berjumlah RM19.08 juta setakat 31 Mac tahun ini.

“Selain itu, SSPN-i turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga dan patuh syariah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya