Warga Nigeria didakwa tipu guru besar melibatkan pemindahan RM141,262 - Utusan Malaysia

Warga Nigeria didakwa tipu guru besar melibatkan pemindahan RM141,262

NWAOKORIE Chikezi Patrick (belakang) diiringi pegawai polis hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi menghadapi pertuduhan menipu seorang guru besar melibatkan pemindahan wang RM141,262.-UTUSAN/ NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Seorang penuntut kolej swasta warganegara Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini terhadap 24 pertuduhan menipu seorang guru besar melibatkan pemindahan wang sebanyak RM141,262.

Transaksi wang melibatkan jumlah berbeza itu dibuat berhubung tuntutan harta pusaka yang tidak wujud yang kononnya merupakan peninggalan bapa lelaki itu bernilai RM2.4 juta.

Nwaokorie Chikezi Patrick, 41, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa menipu wanita berusia 59 tahun itu di antara 4 Februari lalu dan 3 Mac lalu di sebuah sekolah rendah di
sini.

Dia dituduh memperdaya guru besar tersebut agar memasukkan wang berjumlah RM141,262 ke dalam akaun CIMB atas nama seorang wanita rakyat tempatan melalui pindahan atas talian bertujuan menuntut harta pusaka bapanya (tertuduh) bernilai RM2.4 juta sedangkan harta itu tidak wujud.

Penuntut Diploma Pelancongan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak selaku majistret dalam kes itu membenarkan tertuduh dijamin RM72,000 bagi semua pertuduhan iaitu RM3,000 bagi setiap tuduhan dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yong Ching Hong memohon jaminan RM10,000 bagi setiap tuduhan dengan dua penjamin rakyat tempatan manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Peguam M. Tharuma Ratnam yang mewakili tertuduh memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan lelaki itu mempunyai tanggungan iaitu seorang isteri rakyat tempatan dan dua anak yang masih kecil.

Hujah peguam bela, jumlah jaminan RM240,000 yang dipohon oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi sedangkan tertuduh bukan individu yang berisiko melarikan diri.

Menurutnya, Nwaokorie bekerjasama dengan pihak polis dengan hadir sendiri ke balai manakala penjaminnya hadir ke mahkamah.

Peguam bela berhujah, anak guamnya didakwa secara berasingan melibatkan mangsa serupa dan modus operandi yang sama manakala seorang lagi masih bebas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya