KOTA BHARU: Tiga maut manakala seorang cedera parah dalam dua kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di sekitar daerah ini, kelmarin dan semalam.
Kejadian pertama berlaku di Kampung Kukang, Jalan Perol di sini kira-kira pukul 10 malam semalam mengorbankan dua mangsa iaitu Mohamad Yusoff, 70, yang dipercayai baru selesai solat tarawih dengan seorang lagi penunggang motosikal, Farhan Cheteh, 17.
Dalam nahas kedua pula, seorang buruh, Norhisam Mohd. Nor, 47, maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan berhampiran lampu isyarat di Batu 4 di sini, pada pukul 7.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian pertama, Mohamad yang menunggang motosikal jenis Honda C100, bersama anaknya, Muhammad Soleh,17, sedang dalam perjalanan dari arah Peringat ke Perol.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, warga emas itu dipercayai cuba membelok ke kanan untuk masuk ke lorong tali air menuju ke rumahnya, namun dia tidak menyedari kehadiran sebuah motosikal yang ditunggang Farhan dari arah bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan kedua-dua motosikal bertembung sebelum Mohamad dan Farhan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Anak warga emas itu, Muhammad Soleh terselamat, namun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan muka. Mangsa kini dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, menurut Abdul Rahim, dalam kejadian kedua, Norhisam dipercayai menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Pasir Hor ke Bandar Baru Tunjong untuk ke tempat kerjanya.
Katanya, motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE