Warga emas buta tinggal seorang diri - Utusan Malaysia

Warga emas buta tinggal seorang diri

ABDUL Karim Mohd. Rashid (kiri) ketika menerima kunjungan Noor Azleen Ambrose (dua kiri) yang singgah ke kediamannya sempena program sahur di Taman Tasek Pandan, Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas bukan sahaja hidup bersendirian di akhir usia malah dia yang juga orang kurang upaya (OKU) buta masih cekal menghadapi hari mendatang.

Abdul Karim Mohd. Rashid, 71, tinggal seorang diri di kediamannya di sebuah rumah flat di Taman Tasek Pandan di sini selepas kematian anak bongsunya, Ahmad Andrian, 34, Februari lalu.

Menurutnya, semua urusan harian perlu dilakukan sendiri walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

“Makan dan minum biasanya jiran akan beri termasuk untuk bersahur dan berbuka ketika ini, lagipun saya hanya makan sedikit. Saya tiada pencen atau punca pendapatan, namun anak yang tinggal di Taman Daya ada memberi wang,” katanya yang ditemui di kediamannya.

Tambah Abdul Karim, sebelum ini bil elektrik dan air rumahnya telah tertunggak sebanyak RM3,000 kerana sudah tidak dibayar lebih setahun.

“Mujurlah ada pihak yang bersimpati. Pemuda UMNO Pasir Gudang membayar RM2,500 manakala pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pula bantu selesaikan lagi RM500.

“Semasa bekalan air dipotong dulu, jiran membantu dengan menyambung bekalan air dari rumah mereka menggunakan getah paip selama dua minggu,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu hilang penglihatan sedikit demi sedikit sejak berpindah ke rumah flat tersebut pada 2008 sebelum tidak mampu melihat sepenuhnya kira-kira setahun kemudian.

Abdul Karim memberitahu, dia sudah menjalani pembedahan di sebuah klinik swasta tidak lama selepas itu sebelum sekali lagi menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

“Dahulu saya bekerja kilang di Singapura, jadi rawatan di sana dibuat menggunakan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) tetapi penglihatan saya masih tidak dapat dipulihkan. Saya kini sudah reda tidak akan dapat melihat untuk selama-lamanya,” jelasnya.

Simpati dengan nasib warga emas itu, Pemuda UMNO Pasir Gudang dan Gerakan Belia 4B Pasir Gudang melawatnya semasa program sahur.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambrose berkata, pihaknya akan mengusahakan agar Abdul Karim mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita sudah mendapatkan kad OKU dan akan mohon bantuan JKM. Kediaman yang didudukinya hari ini adalah rumah sendiri selepas kerajaan memindahkan penduduk setinggan di Pandan Darat akibat banjir dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya