JOHOR BAHRU: Penyelia kilang warga Pakistan berusia 38 tahun didenda RM10,000 dan penjara satu hari oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini semalam.
Tertuduh, Imran Khan dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah kerana memberi rasuah kepada anggota polis, Februari lalu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, Imran merupakan penyelia kilang di Shah Alam, Selangor.
“Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan rasuah berupa rantai tiruan warna kuning kepada pegawai polis yang menjaga Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bukit Gambir, Tangkak pada pukul 4.30 pagi, 6 Februari lalu.
“Tawaran berkenaan sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan ke atasnya yang melakukan kesalahan merentas negeri dari Selangor ke Johor tanpa surat kebenaran,” jelas kenyataan itu.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun manakala pihak tertuduh tidak diwakili peguam. -UTUSAN ONLINE