Wanita Vietnam rasuah polis untuk bebaskan rakan - Utusan Malaysia

Wanita Vietnam rasuah polis untuk bebaskan rakan

MOHD. FADHIL MINHAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Tindakan seorang wanita warganegara Vietnam yang berdegil memberi sogokan berjumlah RM5,000 kepada seorang pegawai polis bagi tujuan membebaskan dua rakan senegaranya mengundang padah.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian pukul 1.35 tengah hari, kelmarin, wanita berusia 40 tahun yang merupakan kontraktor jubin itu ditahan ketika bertemu dengan pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah.

“Wanita berkenaan berjumpa dengan pegawai penyiasat yang berpangkat inspektor bagi cubaan memujuk untuk membebaskan dua rakan lelakinya berusia 31 dan 44 tahun yang ditahan Selasa lalu, kerana kesalahan merentas negeri tanpa permit.

“Bagaimanapun, inspektor berkenaan menolak suapan tersebut berkali-kali selain menasihati wanita itu untuk melupakan hasratnya sebelum tindakan tegas diambil,” katanya ketika ditemui di IPD Tangkak, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Fadhil, wanita itu bagaimanapun enggan dan tetap memberikan rasuah selain membuat tawaran untuk menaikkan nilai ganjaran kepada pegawai tersebut sekiranya tidak mencukupi.

“Suspek cuba membuat tawaran dengan menyatakan dia sedia meningkatkan jumlah wang dari RM5,000 itu kepada nilai-nilai tertentu sebagai balasan untuk pegawai polis membantunya.

“Justeru, melihatkan kedegilan wanita ini, pegawai itu kemudiannya bertindak tegas dengan menahan suspek sebelum dia diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau berkata, wanita itu kini ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya